Kampung Baru, 9 April – Pusat Kesihatan & Kesejahteraan Universiti Utara Malaysia (PKKUUUM) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan & Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Baru telah mengadakan program pemeriksaan kesihatan secara percuma buat warga imigran bersempena Program Santuni Warga Rohingya pada hari Sabtu lalu dan disertai oleh seramai lebih kurang 20 orang warga asing.
Program dimulakan pada pukul 9.30 pagi dengan sesi ceramah pendek yang berkisar mengenai amalan pemakanan sihat, penjagaan kebersihan diri serta gaya hidup sihat. Sesi ceramah berakhir dengan program pemeriksaan kesihatan yang melibatkan aktiviti merekod bacaan berat, ketinggian, gula dalam darah serta tekanan darah bagi setiap peserta yang hadir. Konsultasi juga telah diberikan secara percuma.
Selepas itu, pihak JPKKP meneruskan program dengan mengadakan sesi penyampaian sumbangan berupa bentuk makanan asas dan keperluan dapur bagi setiap peserta, hasil dana yang diperolehi oleh masyarakat setempat.
Ternyata, Program Santuni Warga Rohingya mendapat sambutan yang baik dalam kalangan warga imigran serta masyarakat setempat. Selain dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, program ini dapat menerapkan nilai-nilai murni serta memberi peluang kepada umat Islam untuk berbuat kebaikan pada bulan Ramadhan yang penuh berkat ini.